Saturday, May 23, 2009

Boikot Bukan Sunnah si Abu Jahal

Berbicara mengenai boikot, kita sedar bahawa ia bukan satu isu yang boleh dimudah-mudahkan. Apabila dilaungkan mengenai boikot, ramai sekali ikut bersetuju. Ramai juga yang tidak ambil peduli serta buat tidak tahu-menahu. Dan ramai sekali antara kita memandang kewajaran boikot dari berbagai-bagai sudut yang adakala tidak logik.

Sejauh mana boikot itu wajar?

Kita tanyakan kepada diri sendiri.

Banyak orang melihat boikot sebagai isu yang perlu dilakukan atas sudut sentimen. Bila saja ada isu-isu yang menekan orang Islam. Maka akan dilaungkan boikot. Boikot itu. Boikot ini. Senarai yang berjela. Risalah diletakkan merata-rata. Ada kala, jenama yang disyor boikot tidak pernah didengar.

Itu cerita orang-orang yang mengesyorkan boikot.

Cerita sang penentang boikot pula begini;

“Kita tidak perlu memboikot kerana yang rugi itu umat Islam.”

“Kita jangan sesekali memboikot. Tidak malukah kita menyuruh orang memboikot Coca Cola, Colgate dan Starbuck. Tapi kita ke Mekah mengerjakan haji dipakai juga kapal terbang Boeing dan Airbus”

“Boikot? Isu lapuk! Jadinya seolah seperti melepas batuk ditangga. Tidak jatuh ekonomi sang Yahudi dengan kita memboikot dua tiga benda. Yang pakai mobil US itu kita-kita juga.”

Boikot itu satu cabang aqidah

Percaya atau tidak. Boikot itu memang satu cabang aqidah. Bercakap-cakap mengenai boikot bukan semudah memandangnya atas sentimen, bukan juga semudah menentangnya dengan mengatakan ia sunnah si Abu Jahal!

Al-Wala’ wa al-Bara’.

Itu aqidah.

Bukan kita ini memboikot apabila ada seorang Palestina dibunuh dengan sebutir peluru sang Yahud menerobos kepala. Bukan juga kita memboikot apabila sebuah negara kafir melukis karikatur menghina Rasul yang Mulia. Bukan, bukan dan bukan!

Selamanya jika isu ini dipandang dari sudut sentimen. Maka selamanya juga pincang keadaan. Bukan sentimen yang sepatutnya memandu kewarasan melakukan sesuatu, bukan juga perasaan. Melainkan aqidah menjadi lapik-lapik jalan agar tidak tersasar mahupun terbabas.

Namun bagaimana pula sang anti-boikot? Yang berkata bahawa boikot itu sunnahnya Abu Jahal?

Tidak kita katakan bahawa memboikot barangan bukan Islam itu adalah salah satu dari cabang aqidah Islam. Tidak lebih bahkan tidak kurang. Amat malang ada yang mulutnya jenuh bercakap-cakap mengenai aqidah yang shahih. Namun padanya tertinggal satu perkara. Akibat tidak mengaji? Atau terlalu laju sehingga terlajak-lajak? Akhirnya tertinggal dua tiga benda. Akhirnya dia rasa aqidahnya sahaja yang benar, namun makan diri juga akhirnya. Bukan mahu mengata? Tapi kenapa berani mengatakan ia sunnah si Abu Jahal?

Syeikh kami, Abu Huzaifah Aiman al-Daqqaq apabila ditanya mengenai boikot. Beliau menjawab ini termasuk dalam tajuk al-Wala’ wa al-Bara’.

Benar Ahmad SAW itu tidak pernah memboikot urusniaga dengan Yahudi. Tidak juga menekan-nekan ekonomi mereka. Tapi siapa kita untuk kata boikot barangan si kuffar itu bukan dari Islam?

Siapa yang mendakwa, perlu mendatangkan bukti.

Jika dilihat dari sudut pandang yang benar. Dari sudut pandang aqidah yang shahih. Orang yang sihat akalnya pasti tidak mahu bersekongkol dengan mereka yang jahat. Siapa yang aqidahnya waras, pasti tidak akan mahu ada urusan dengan pembunuh saudara-saudara agamanya. Tidak mahu, tidak dan tidak.

Apa itu al-Wala’? Dan apa pula al-Bara’? Dan kenapa?

Saya kira pada orang yang rasa aqidahnya shahih tidak perlu diajar-ajar mengenai hal ini dalam-dalam. Tapi melihat dari pincangnya menilai permasalahan. Ada baiknya dibedah dan dibuka semula makna perkataan.

Al-Wala’ membawa makna loyaliti. Atau kesetiaan. Kesetiaan yang tiada dibahagi-bahagikan kepada Islam. Kesetiaan yang didasarkan kepada rasa cinta.

Al-Bara’ pula membawa maksud untuk berlepas diri. Meninggalkan apa-apa yang berlawanan dengan Islam. Meninggalkan segala sesuatu yang jelas membawa mudharat kepada Islam. Dan membenci apa-apa yang bertentangan dengan Islam.

Secara kasar, itu adalah al-Wala’ dan al-Bara’. Cinta kepada Islam dan apa-apa yang berkaitan dengannya, serta membenci apa-apa sahaja yang bertentangan dengan dasar-dasarnya.

Syeikh Muhammad bin Sa’id al-Qahtani dalam kitab beliau, al-Wala’ wa al-Bara’ fi al-Islam menyatakan bahawa al-Wala’ dan al-Bara’ adalah salah satu daripada prinsip, satu keperluan dari kalimah toyyibah; La ilaha illa Allah. Dan beliau membawa pelbagai dalil dari al-Kitab dan al-Sunnah untuk menyokong hujjah tersebut.

Jelas bahawa, orang yang bersaksi bahawa Allah itu adalah tuhan yang satu, wajib untuk menanamkan prinsip al-Wala’ dan al-Bara’ dalam diri masing-masing. Dan ia merupakan syarat iman.

Sebagaimana firman Allah Azza wa Jalla; “Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) Iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka). Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.” (5:80-81)

Ibnu Katsir dalam tafsirnya ada menyebutkan bahawa, ayat di atas menunjukkan mereka mengambil orang-orang kafir sebagai teman, dan meninggalkan dari kalangan orang Islam.

Semua yang berlaku adalah akibat adanya sifat nifaq di dalam hati. Rasa berat untuk berlepas diri dari orang bukan Islam. Sedangkan orang Islam itu dasarnya adalah; cinta kerana Allah, dan membenci juga kerana Allah.

Aplikasi al-Wala’ dan al-Bara’ dalam konteks boikot

Ramai beralasan, tidak perlu memboikot kerana ekonomi umat Islam itu sendiri akan terganggu. Ah! Nanti tiada pula pendapatan orang Islam untuk membayar zakat atau cukai kepada sang pemerintah. Kosong pula tabungan zakat negara.

Tuan, pandang dari sudut aqidah tidak begitu. Kalam itu untuk memudah-mudahkan apa yang benar. Dikatanya haram itu jelas, halal juga jelas. Kenapa tidak dipandang dari atas sudut pandang aqidah? Banyak-banyak alasan, tidak lain melainkan kiat-kiat untuk menghalalkan keinginan. Apa benar orang yang aqidahnya shahih bersekongkol dengan kafir? Jika dikata bersekongkol mungkin-mungkin sahaja marah. Jadi usahlah terlalu menzahirkan sifat menyokong, takut nanti disalah anggap sebagai redha.

Apa yang dikerjakan itu kerana Allah dan RasulNya. Apa-apa saja yang datang dari Allah dan Rasul, kita terima. Apa saja yang bertentangan, kita jauh tinggalkan. Ini hakikat aqidah tuan. Bukan persoalan dua tiga orang manusia jadi biul akibat diberhentikan kerja. Mana datang aulawiyyat? Melihat dua tiga orang terpaksa mencari kerja lain, atau melihat dua tiga ribu orang mati di bom bertalu-talu?

Ada yang kata, masakan luput ekonomi si Amerika jika hanya kita boikot Colgate mahupun Coca Cola? Tentu sekali mereka itu masih punya dana yang lebih besar. Ya tuan, mungkin sahaja ekonomi mereka masih kuat berjalan. Tidak akan jatuh mereka dengan hanya kita tidak minum Coca Cola atau kopi Starbuck.

Kerana kita ini sebenarnya terlalu sentrik pada isu politik, pada sudut pandang ekonomi. Benar, bukanlah jatuh bangun ekonomi mereka hanya disebabkan botol-botol Coca Cola ataupun bekas-bekas plastik Starbuck. Kita akan-akan terlupa bahawa kita tidak memandang dari sudut aqidah. Kita perlu memandang bahawa, lengkapnya aqidah kita apabila kita mula mampu meninggalkan apa-apa yang ada kaitan yang jelas dengan mereka.

Sempurnanya aqidah kita apabila kita mula mengaplikasikannya dalam segenap kehidupan. Bukan masalah mereka. Tapi masalah kita. Kita terlalu leka.

Syeikh Soleh al-Fauzan dalam satu risalah mengenai al-Wala’ wa al-Bara’ menyatakan bahawa kita ini perlu membantu dan menolong kaum muslimin dalam urusan agama dan duniawi baik dengan jiwa, harta, juga dengan perkataan. Dan kita merasa sakit atas penderitaan mereka, serta berbahagia dengan kebahagian mereka.

Kenapa gagal memboikot?

Kita gagal untuk memboikot bukan kerana kita terlalu lemah. Tapi kerana kita terlalu ambil mudah. Tuan-tuan, jika anda hendak melaungkan boikot. Bukan untuk sehari, bukan dua hari, bukan juga sebulan atau enam bulan. Hal ini berlaku akibat tiadanya kemampuan untuk melazimkan diri. Kerana tiada basis yang kuat untuk menyokong bahawa perlakuan membenci kuffar mahupun produk mereka itu adalah suatu yang benar. kerana tiadanya perlakuan boikot itu dipasakkan dengan struktur aqidah.

Aqidah tuan-tuan. Aqidah.

Kerana jika diletakkan aqidah pada awalnya, pasti sahaja kita tidak teragak-agak untuk berterusan di atas jalan yang diwar-war itu. Sebaliknya jerit-jerit boikot, hanya dimainkan dengan isu sentimen. Apabila tamat sahaja negara zionis Israel membedil Palestin. Berbondong-bondong menyerang KFC dan McDonald. Ramai mula meneguk-neguk Coca Cola. Ini belum dikira orang yang ‘istiqamah’ di atas jalan merokok.

Apabila semua orang hanya memikirkan tuntutan sentimen, maka akan timbul riak-riak kecelaruan.

Penyudahnya, fikrah jadi korup dan ramai hilang punca. Menunggu sehingga Palestin dibedil lagi sekali, baru mula ramai terjaga. Ramai pula memboikot.

Ada yang beralasan; “Apa jika aku meninggalkan Milo, maka tiada lagi minuman setandingnya.” Atau, “Mana lagi ada ayam sebagus KFC atau mobil sebaik GMC.”

Benar. Tiadanya substitute goods yang setanding untuk dibanding dengan produk-produk sedia ada, menjadi sebab slogan boikot itu gagal. Bahkan slogan belilah barangan buatan Muslim juga boleh jadi gagal. Mana mungkin kita mampu untuk memboikot jika kita masih gagal untuk mengeluarkan produk yang sama kualitinya. Ya. Kita mengakui hakikat itu. Akan tetapi punahkah otak jika kita menanamkan dasar aqidah sebagai tapak? Tidak rasanya.

Tanamkan sahaja dasar aqidah itu dalam diri. Mungkin-mungkin kita mampu berubah dan mengeluarkan apa yang setanding. Ini bukan persoalan sehari dua. Ini persoalan untuk jangka masa yang panjang. Ini persoalan aqidah.

Syeikh Soleh al-Munajjid dalam kumpulan fatwa beliau apabila ditanya apa hukum membeli barangan buatan Amerika seperti IBM, Dell atau Microsoft menyatakan bahawa; tidak menjadi satu masalah untuk membeli barangan buatan negara kafir, atau berurusniaga dengan negara kafir selagi mana tidak bertentangan dengan syari’ah; selagi mana tiadanya barangan dari negara Islam yang mampu menyebabkan tidak perlunya lagi kepada buatan kafir; atau selagi mana membeli barangan mereka menyebabkan mereka bertambah kuat dan mampu menentang Islam.

Itu kata seorang masyaikh besar. Kita pula bagaimana?

Makanya kita katakan bahawa boikot itu adalah antara satu cabang dalam menzahirkan sifat al-Wala’ dan al-Bara’. Satu tuntutan aqidah sebagaimana dituntun oleh Muhammad SAW. Makanya apa kita harus kata boikot itu harus dilakukan atas dasar sentimen? Atau terlalu lepas berkata; boikot itu sunnah si Abu Jahal? Jaga katamu itu saudara, takut sahaja teraniaya diri. Jangan pula di lain hari terkata pula aqidah benar ini serupa aqidah si Abu Jahal. Buruk padahnya.


Writings from : VersesOfLife

Credits : redline7 , VersesOfLife

2 comments:

V said...

aku mencuba untuk boikot. bagi aku, ada sesetengah item yang boleh d boikot, dan ada sesetengah item yang terpaksa juga aku beli. sebagai contoh, aku sudah tidak minum milo semenjak beberapa ketika. walaupun agak sukar tapi pada aku perkara yg paling penting sekali ialah perasaan keinginan/nafsu dalam diri sendiri. pertama kali ketika memboikot milo, aku berada di Malinja dan sedang beratur untuk membeli air. dua orang di hadapan aku sudah beredar dan aku masih lagi memikirkan sama ada ingin membeli air yg sedap nak mati atau berkorban sedikit agar di akhirat nanti sekurang kurangnya aku dapat menjawab "aku telah berusaha untuk membantu saudaraku"

kerana aku pernah mendengar sesuatu yg seperti ini : 'ALLAH bukan bertanya tentang kejayaan kita, tetapi ALLAH akan bertanya tentang usaha yang kita lakukan atas satu2 kebaikan'...lebih kurang begini lah. ..

fay said...

boikot.